-->

TESTIMONI USAHAWAN PROTEGE



KEGAGALAN! ASET YANG TIDAK TERNILAI


Pengalaman gagal dalam perniagaan adalah suatu yang sukar untuk diterima oleh kebanyakan kita termasuk saya sendiri. Sesungguhnya kegagalan itu menyebabkan saya hilang keyakinan diri, berputus asa, rendah diri dan hilang semangat untuk terus berusaha pada satu ketika. Manakan tidak, memikirkan hutang yang mencecah lebih 1/2 juta ringgit terpaksa ditanggung akibat kegagalan dalam perniagaan adalah suatu yang sukar untuk diterima. Saya pernah cuba bangkit dari kegagalan tersebut. Namun disebabkan kesukaran hidup tanpa sumber pendapatan, tanpa sokongan, tanpa ilmu menyebabkan kebangkitan itu seperti mustahil. Ini menyebabkan saya diishtiharkan muflis pada tahun 2014. Tetapi Allah itu maha penyayang. Saya diberi peluang untuk cuba bangkit sekali lagi. Diberi kekuatan selepas kegagalan demi kegagalan untuk terus berusaha demi sebuah kejayaan yang diimpikan.


Titik perubahan bermula apabila hati saya terdetik pada satu ketika untuk mengetahui aktiviti keusahawan dan perniagaan seorang rakan iaitu Ch Apprentice Mohammad Riduwan. Saya tertarik dengan nama yang digunakan beliau dalam Facebook, yang menyebabkan saya terasa ingin tahu. Beliau tidak pernah bercerita tentang perniagaan yang dijalankan walaupun saya selalu berjumpa dengan beliau di makmal pengajian. Saya cuba mencari-cari apa yang beliau lakukan melalui kawan terdekat. Namun tidak seorang tahu secara spesifik apa yang beliau usahakan. Apabila dicari dan diselidik, Alhamdulillah rupanya inilah peluang yang saya cari selama ini. Peluang dan jalan untuk saya bangkit dari kegagalan. Bangkit kali ini diiringi dengan ilmu, sokongan dan bimbingan. 


Alhamdulillah saya mendapat kekuatan untuk menyertai satu program yang dipanggil Program Usahawan Mentor Mentee (kini dikenali sebagai Akademi Perintis Usahawan Malaysia), program yang mengamalkan konsep M.E.S.T.I. (MENTOR . ELMU . SISTEM . TINDAKAN. IMPIAN) setelah bertemu dengan salah seorang mentor iaitu Dr Mohd Azhar Abd Razak yang juga pernah gagal dan berjaya bangkit. Di sinilah timbulnya kekuatan dan jalan saya untuk bangkit. Saya perlu belajar dari mentor ini bagaimana untuk bangkit semula. Program yang menekankan Jihad Ekonomi untuk kejayaan dunia dan akhirat. Perniagaan bukan sahaja untuk keuntungan duniawi sahaja namun dilakukan juga demi keuntungan di akhirat. Transformasi niat dilakukan, di mana berniaga bukan semata-mata kerana wang, tetapi lebih kepada niat membantu memperkasa ekonomi Muslim supaya Muslim itu kuat, supaya Muslim itu tidak ditindas, supaya Muslim itu bersatu, dan supaya Muslim menjadi hebat dalam menegakkan syiar Islam.


Perniagaan itu sunnah nabi, kenapa kita melarikan diri daripada sunnah. InsyaAllah melaksanakan sunnah itu suatu amalan yang bukan sahaja memberi keuntungan di dunia namun menyumbang pahala untuk bekalan akhirat juga. Kita mungkin tidak mampu mengangkat senjata untuk berjihad dalam peperangan, namun saya yakin semua Muslim mampu berjihad dalam mengangkat ekonominya dan ekonomi saudaranya. Pertama kali menghadiri satu seminar bersama Mentor, beliau mengajar semua usahawan supaya suka kepada KEGAGALAN. Pelikkan...? Tapi sebenarnya dengan kegagalan kita menjadi kuat, kita menjadi lebih matang, kita menjadi lebih berpengalaman, menjadikan kita lebih bersedia dan menjadikan kita lebih berusaha.


Ramai orang cakap kegagalan itu satu batu loncatan untuk berjaya. Tapi amat jarang sekali orang yang menceritakan bagaimana kita boleh gunakan kegagalan itu untuk bangkit dan berjaya. Di sini jugalah saya belajar bagaimana kita boleh menjadikan KEGAGALAN SEBAGAI SATU ASET yang paling utama, yang paling bernilai, yang boleh kita gunakan untuk bangkit dan berjaya. Inilah satu aset paling mahal dan paling penting yang saya miliki yang tidak dimiliki oleh orang lain. Banyak yang saya pelajari dalam program ini walaupun baru dua minggu bersamanya. Mentor-mentor hebat Apprentice Ir Abdul Malek (Personal Coach terbaik yang pernah saya jumpa), Apprentice Lin Mayu, Dr Ashuwad Burn, Dr Juwita Jobil dan lain-lain yang berdedikasi dan ikhlas adalah suatu yang sangat saya hargai. Tidak pernah timbul rasa jemu dan tidak pernah sekali-kali membiarkan saya terbiar keseorangan. Tidak pernah saya terlibat dengan mana-mana program sebelum ini yang mana saya berpeluang berjumpa orang-orang hebat ini secara personal. Hanya di dalam Program Usahawan Mentor Mentee ini saya mampu berbicara dan berkongsi pengalaman dengan semua mentor-mentor hebat ini. Semuanya berlaku dalam tempoh kurang satu bulan dari tarikh saya mengenal program ini sehingga kini. Sokongan dan dorongan sentiasa diterapkan dalam menjayakan semua usahawan.


Di samping ilmu keusahawanan yang menyeluruh, semua usahawan diterapkan dengan nilai murni supaya sentiasa berkerjasama dalam kumpulan secara berjemaah, saling menyokong di antara satu sama lain. Bakinya terletak pada usahawan itu untuk mempraktikkan ilmu yang dipelajari dan terus berusaha dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal putus asa. Saya percaya ramai orang seperti saya. Mungkin bentuk kegagalan itu berbeza. Saya telah alami betapa sukarnya untuk bangkit tanpa ilmu dan bimbingan. Oleh yang demikian saya menyeru bangkitlah saudara-saudara ku, berusahalah, kerana kegagalan itu adalah batu loncatan kepada kejayaan. Carilah guru atau mentor yang ikhlas dan berdedikasi sepertimana menyor-mentor yang saya temui. InsyaAllah kita akan berjaya suatu hari nanti. Walaupun masih banyak yang perlu dipelajari dan dipraktikkan, namun saya yakin kejayaan itu sudah berada di depan saya. Cuma masa menikmatinya memerlukan saya untuk terus berusaha. Jangan berputus asa, kerana sekali berputus asa kita akan gagal selamanya. 


Oleh yang demikian sebagaimana mentor-mentor apprentice saya dengan penuh semangat dan dedikasi membantu saya untuk bangkit, maka saya juga berniat akan mendedikasikan diri saya untuk membantu seramai mungkin saudara Muslim saya untuk berjaya dalam kehidupan dunia dan bersedia dengan bekalan akhirat. INILAH JIHAD SAYA. Ya Allah, berikan segala yang terbaik untuk ku, yang terbaik untuk keluarga ku, yang terbaik untuk mentor-mentor ku, yang terbaik untuk rakan-rakan usahawan ku, yang terbaik untuk sahabat-sahabat ku dan yang terbaik untuk saudara muslim ku demi kebaikan Agama dan syiar Islam. Jadikan kami di kalangan orang yang berada di jalan yang benar, dan di kalangan orang yang sentiasa diberkati Mu. Tunjukkan kami ke jalan yang diredhaiMu. Kuatkan semangat kami dalam perjuangan jihad kami. Berikanlah ganjaran yang sebesar-besar ganjaran atas jihad kami sebagaimana Engkau kurniakan kepada saudara kami yang sedang mengangkat senjata berjuang, di Palestin, di Syria dan di seluruh pelusuk dunia dalam menegakkan Islam. Sesungguhnya Engkau maha pemurah lagi maha mengasihani, dan sesungguhnya Engkau maha mengetahui apa yang terbaik untuk kami. INILAH JIHAD KAMI DALAM MENCARI KEREDHAAN MU. Semoga Allah memberi segala kekuatan dalam diri saya untuk membantu semua yang memerlukan bantuan saya.